Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
Jika melihat kepada usia pembabitannya yang masih setahun jagung dalam dunia e-Sukan, pasti ramai beranggapan tidak banyak pendedahan serta pengalaman berjaya ditimba oleh gadis manis kelahiran Besut, Terengganu ini.
Bagaimanapun, Amira Hadia Muhammad Azmi, 24, bukan gadis biasa kerana dia tidak pernah berhenti untuk berlatih atau mendalami pelbagai kemahiran khususnya permainan kegemarannya iaitu Player Unknown’s Battleground Mobile (PUBGM).
Menggunakan nama MiRara ketika beraksi, Amira Hadia berkata, pada mulanya dia hanya menjadikan permainan PUBGM sebagai hobi atau aktiviti untuk mengisi masa lapang terutamanya ketika berdepan tekanan termasuk selepas penat menyiapkan tugasan di universiti.
“Sebenarnya, saya mula aktif dalam e-Sukan ini sejak zaman universiti dan untuk pengetahuan, ini baru masuk minggu ketiga saya memberanikan diri membuat livestreaming (penstriman langsung) ketika bermain PUBG.
“Dalam tempoh yang singkat itu juga (sejak mula aktif), saya didedahkan dengan pelbagai perkara dalam termasuk dunia streamer dalam PUBG serta beberapa pertandingan berkaitan.
“Pada masa sama, saya turut mencari serta mengintai peluang untuk menyertai mana-mana pasukan e-Sukan ketika itu terutamanya wanita dengan menghadiri scrims (latihan dalam talian) yang diadakan setiap minggu pada waktu itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Usaha penuntut jurusan Seni Halus (Reka Bentuk dan Teknologi Media Baru) dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang yang baru menamatkan pengajiannya itu baru-baru ini ternyata berbaloi apabila dia akhirnya diterima menyertai sebuah pasukan The Farang Lassie yang dianggotai beberapa pemain wanita sejak penghujung tahun lepas.
Katanya, walaupun ditubuhkan sejak lebih setahun, hampir kesemua anggota The Farang Lassie tidak pernah bersua muka kerana masing-masing hanya bekerjasama ketika beraksi secara dalam talian selain sibuk dengan urusan sendiri sama ada bekerja atau belajar.
“Apabila PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuatkuasakan (sejak Mac lalu), ramai dalam kalangan kami yang mula bekerja atau belajar dari rumah dan bermula dari situ kami kerap berlatih secara dalam talian dan bertukar pemain untuk mencari keserasian,” katanya.
Amira Hadia berkata, ketika ini, kebanyakan pertandingan yang mereka sertai adalah di bawah OTG – Scrims Saja-Saja Ladies Edition dan dia turut menyimpan hasrat untuk melihat The Farang Lassie beraksi dalam saingan liga untuk pemain-pemain e-Sukan atau ESPL selepas ini.
“Selain berlatih bermain PUBG selama lima hari seminggu pada setiap malam, saya juga mengisi masa yang terluang dengan banyak menghasilkan video-video berkaitan,” katanya yang memberitahu, antara pencapaian terbaik yang pernah diraih oleh The Farang Lassie termasuk menduduki tempat kedua saingan PUBG di peringkat domestik khususnya untuk Ladies Edition.
Tambahnya, walaupun tidak bermain PUBG secara sepenuh masa ketika ini, dia tetap memberi fokus yang jitu terhadap permainan itu dan bersedia untuk berdepan cabaran lebih kompetitif dalam sebarang pertandingan bersama rakan sepasukannya dalam The Farang Lassie.