PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Soong Joo Ven percaya tahap permainannya semakin meningkat selepas berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir pada Kejohanan Terbuka Taiwan.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung kelmarin, Joo Ven terpaksa akur tidak layak ke pentas final selepas tewas 12-21, 12-21 kepada wakil tuan rumah, Chou Tien Chen.
Pemain berusia 27 tahun itu tanpa berselindung mengakui lawannya menampilkan aksi lebih baik, namun dia tetap gembira kerana dapat menampilkan corak permainan yang matang berbanding kejohanan terdahulu.
“Bagi perlawanan semalam (kelmarin), dia (Tien Chen) memang merupakan pemain yang lebih baik di dalam gelanggang. Saya memiliki banyak peluang untuk mematikan permainannya pada set pertama, tetapi dia mampu bertahan.
“Secara keseluruhan, permainannya sangat bagus dan memiliki banyak variasi. Keadaan itu sedikit sebanyak meletakkan saya dalam keadaan tertekan sepanjang perlawanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah bekas pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, dia berharap mampu untuk menampilkan aksi lebih konsisten pada kejohanan akan datang selepas berpuas hati dengan prestasinya sepanjang Terbuka Taiwan.
Pada masa sama, Joo Ven juga mengakui dia perlu membahagikan masa dengan lebih seimbang antara latihan perseorangan serta acara beregu campuran bagi memastikan aksi lebih baik selepas ini.
“Saya fikir prestasi di Taiwan sangat baik dan lebih matang dari segi permainan, cuma perlu lebih konsisten dalam kejohanan akan datang. Mungkin ia disebabkan kurang latihan kerana juga perlu berlatih bagi acara beregu campuran,” ujarnya.