SEATTLE, WASHINGTON – Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, manakala enam yang lain cedera dalam insiden tembakan di Renton, pinggir bandar Seattle awal pagi semalam, lapor stesen penyiaran CNN.
Polis menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan satu kejadian tembakan berlaku di Renton sejurus sebelum pukul 1 pagi (waktu tempatan).
Penduduk memberitahu polis bahawa mereka mendengar bunyi pergaduhan, diikuti bunyi tembakan pistol.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota-anggota polis menemui sebilangan mangsa dengan kesan kecederaan akibat terkena tembakan, termasuk seorang lelaki yang parah.
Ketika merawat mangsa parah berusia 32 tahun itu, polis dan anggota bomba turut berdepan kumpulan orang ramai yang gelisah. Situasi itu memaksa mereka memindahkan mangsa berkenaan, kata Polis Renton.
Lelaki tersebut kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, manakala enam mangsa lain mengalami kecederaan pelbagai tahap dan dirawat di hospital.
Setakat ini, polis masih belum mengenal pasti punca pergaduhan yang mencetuskan kejadian amukan senjata api itu tetapi menambah, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
Renton merupakan sebuah bandar yang memiliki kira-kira 106,000 penduduk dan terletak sekitar 19.3 kilometer ke tenggara pusat bandar Seattle. – Agensi