fbpx

Kasihnya ‘abah’, derita si anak angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular, kasih seorang bapa angkat kepada anak yang pengsan ketika perbarisan KPDNHEP baru-baru ini.

BEBERAPA hari lalu kita dihidangkan dengan dua buah video. Satu kisah kasih sayang seorang lelaki kepada anak saudaranya dengan membantu penguat kuasa itu bangun, berdiri ketika perbarisan Hari Penguat kuasa KPDNHEP di Putrajaya.

Rakaman ini meruntun hati ramai orang yang kagum dengan kasih sayang ditunjukkan lelaki dipanggil ‘abah’.

Berbeza dengan video kedua yang mendatangkan amarah apabila seorang wanita memukul anak perempuannya dengan batang penyapu gara-gara tidak mahu makan nasi.

Wanita itu meletakkan batang penyapu itu di leher kanak-kanak berusia tiga tahun berkenaan sambil menjerit memintanya menelan makanan tersebut yang telah penuh di mulut.

Di satu video lagi, kelihatan tubuh badan budak perempuan itu yang berbirat dan lebam. Melihat itu, pastinya ia bukan kisah sehari dua.

Tindakan wanita bergelar ibu angkat itu nyata membangkitkan amarah netizen, sekejap sahaja video berkenaan viral, si pelaku telah ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan.

Apa yang menjadi persoalan adalah individu yang terdapat di dalam video itu, tega mereka melihat tangisan kanak-kanak itu demi sebuah bukti.

Setiap yang waras pasti marah dengan kejadian ini. Mahu saja dihukum pelaku dan sekutunya ikut acuan sendiri, namun negara kita punya undang-undang.

Kisah ini menuntut semua pihak berganding bahu, si anak adalah anak angkat dan sudah pasti pihak berkuasa perlu cakna setiap anugerah yang diserahkan kepada insan lain untuk dijaga.

Sekiranya proses tidak melalui saluran kerajaan, keluarga, rakan dan insan terdekat perlu ambil perhatian, jangan sampai ada nyawa yang melayang.

Kisah penderaan sehingga membawa maut juga banyak dilaporkan media sebelum ini antaranya pada Mei lalu di Perak apabila sepasang suami isteri dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh dan mendera dua beradik.

Selain itu, kisah penderaan dilakukan seorang wanita terhadap anak teman lelakinya di Melaka. Tertuduh didakwa mendera kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu dengan mengakibatkan kecederaan fizikal selain muka dan pipi kanannya ditekap di atas papan seterika panas.

Cerita itu antara perilaku tidak berperikemanusiaan yang terjadi dalam masyarakat kita. Apa yang diharapkan moga nasib kanak-kanak berkenaan terbela, atas apa jua alasan nyawa dia bukan di tangan manusia yang sepatutnya menjadi pelindung.

Wahai jiran, keluarga dan kenalan, jadilah mata telinga, prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling, kita tidak mahu bilangan kanak-kanak cacat akibat didera, maut akibat dibelasah individu dewasa terus meningkat.

Kanak-kanak ini perjalanannya panjang, kesan penderaan boleh memburukkan proses mereka membesar. Mereka mungkin jadi pendendam dan bertindak seperti apa yang mereka alami pada masa kecil. Jangan kita ‘lahirkan’ pendera di masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI