SAUDARA PENGARANG,
Saya rasa terpanggil untuk meluahkan kesengsaraan sebagai salah seorang perantau yang terpaksa menghadap kesesakan jalan raya sewaktu pulang ke kampung halaman di Kelantan.
Apa yang menyedihkan kami sebagai rakyat Kelantan adalah kenyataan oleh seorang pemimpin negeri yang tular di media sosial menyatakan perantau perlu bersabar menghadapi kesesakan.
Jelas pemimpin itu, bukan selalu perantau terpaksa menghadap kesesakan jalan kecuali setahun sekali semasa musim perayaan.
Justeru katanya, tidak perlulah jalan diperlebar dan dibesarkan kerana hanya digunakan untuk setahun sekali sahaja.
Kenyataan pemimpin itu tidak tepat sama sekali, ini kerana sebagai perantau dan juga pasangan jarak jauh (PJJ) bukan sahaja musim perayaan kami terpaksa menempuh kesesakan jalan di Kelantan.
Tetapi keadaan sama berlaku setiap kali musim cuti sekolah, perayaan kaum lain dan cuti hujung minggu juga kadang-kadang sesak sama ada menghala masuk Kelantan, mahupun keluar dari negeri ini.
Mungkin Yang Berhormat (YB) tidak rasa kesengsaraan kami kerana kereta mewah YB diringi oleh juruiring selain tidak perlu menghadap kesesakan seperti rakyat biasa.
Cuba YB jadi rakyat marhein semasa musim perayaan, sama-sama beratur menghadap kesesakan yang kadang-kadang boleh mencapai puluhan jam.
Pasti YB akan rasa kesengsaraan seperti kami dan ketika itu baharulah YB rasa perlunya jalan raya diperbesar dan dilebarkan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas.
Janganlah buat kenyataan, namun tidak mahu merasai keluh kesah rakyat yang terseksa mengharungi kesesakan berjam-jam lamanya.
Perantau Menangis
Kuala Krai, Kelantan