KOTA BHARU – Lebih 350 ahli Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyertai piket hari ini bagi mendesak sebuah syarikat perbankan menghentikan pelanggaran hak asasi terutama membabitkan pekerja berpendapatan rendah yang terdiri daripada golongan B40 dan M40.
Piket bermula seawal pukul 9 pagi itu disertai pelbagai peringkat usia dan berlangsung secara aman dengan kawalan lalu lintas yang lancar oleh pihak polis.
Setiausaha Kehormat NUBE Cawangan Kelantan-Terengganu, Wan Mohd. Affendi Husin berkata, piket berkenaan dilakukan selepas 300 pertikaian industri yang difailkan sejak tiga tahun lalu didakwa tidak diendahkan pihak pengurusan bank tersebut sehingga kini.
Menurutnya, pertikaian industri dikenal pasti antaranya enggan menghormati undang-undang buruh Malaysia termasuk peruntukan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 selain menafikan hak kenaikan gaji tahunan kepada pekerja yang sudah mencapai had maksimum tanpa mengira sumbangan dan produktiviti.
“Tindakan berpiket ini sebenarnya atas dasar ingin menuntut pembelaan. Ini merupakan fasa keempat melibatkan ahli NUBE yang berkumpul ekoran pihak atasan bank enggan mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Affendi berkata, tindakan berpiket itu diharap mendapat perhatian pihak pengurusan tertinggi perbankan tersebut. – KOSMO! ONLINE