BUKAN sahaja dilaporkan menukar pakaian hanya dalam tandas, bintang terkenal dunia Jennifer Lopez ternyata tidak menggunakan khidmat jurusolek profesional untuk menata rias wajahnya ketika melangsungkan majlis perkahwinan dengan aktor terkenal, Ben Affleck baru-baru ini.
Difahamkan, penyanyi dan juga pelakon berusia 52 tahun itu bersolek sendiri ketika majlis perkahwinannya yang diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Perkara tersebut didedahkan pendandan rambut terkenal, Chris Appleton yang diberi kepercayaan untuk mendandan rambut diva terkenal itu ketika meraikan hari bahagianya.
“Penampilan terakhir sebelum bergelar isteri. Rambut oleh saya dan solekan oleh J. Lo (panggilan Jennifer Lopez) sendiri,” tulis Appleton melalui satu perkongsian dalam dalam Instagram miliknya.
Terdahulu, Lopez dan Affleck pernah bertunang pada November 2002, namun hubungan tersebut gagal selepas mereka menunda perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada September 2003.
Pasangan itu kemudiannya membatalkan pertunangan secara rasmi pada Januari 2004.
Menerusi perkahwinan dengan bekas suami, penyanyi Marc Anthony, Lopez memiliki sepasang anak kembar, Emme dan Max yang berusia 14 tahun.
Affleck pula memiliki tiga orang anak hasil perkahwinan dengan bekas isteri, aktres Jennifer Garner iaitu Violet, 16; Seraphina, 13, dan Samuel, 10.