IPOH – Enam lelaki yang ditahan Rabu lalu bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dijangka akan didakwa Selasa ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan dan akan merujuk kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan pendakwaan.
Katanya, setakat ini tiada tangkapan terbaru melibatkan kes berkenaan.
“Kesemua suspek berusia 16 hingga 21 tahun itu disambung reman empat hari lagi selepas tempoh reman pertama selama empat hari sejak Khamis lalu berakhir hari ini.
“Kertas siasatan akan dikemukakan pada TPR esok dan jika terdapat pertuduhan, suspek akan didakwa di mahkamah pada hari Selasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menerusi laporan media Jumaat lalu, kesemua suspek tersebut ditahan di sekitar Ipoh susulan laporan polis dibuat ibu mangsa pada Isnin.
Mangsa berusia 16 tahun itu ditemui ibunya dalam keadaan khayal di sebuah rumah flat di Panorama Lapangan Perdana dekat sini.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa berkenalan dengan seorang daripada suspek dan dibawa ke sebuah hotel di Pekan Baru sebelum ditinggalkan di rumah tersebut. – KOSMO! ONLINE