fbpx

Parti pembangkang Sri Lanka selar kekerasan ke atas penunjuk perasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penunjuk perasaan mengibarkan bendera di hadapan barisan pasukan keselamatan di luar pejabat presiden di Colombo. - AFP

COLOMBO – Parti pembangkang utama Sri Lanka semalam  menggesa supaya Parlimen bersidang  untuk membahaskan tindakan pasukan keselamatan menyerang penunjuk perasaan pada hari sebelumnya.

Gesaan itu dibuat selepas kerajaan baharu pimpinan Presiden Ranil Wickremesinghe dikecam  hebat kerana menggunakan keganasan terhadap penunjuk perasaan terdiri daripada orang awam yang mengadakan protes aman.

Penunjuk perasaan secara konsisten menolak Wickremesinghe untuk memimpin Sri Lanka. Beliau yang merupakan bekas perdana menteri, mengangkat sumpah sebagai Presiden Khamis lalu selepas menang sesi pengundian di Parlimen.

Di sebalik perkembangan tersebut, protes di Sri Lanka masih berterusan walaupun kerajaan mengisytiharkan darurat dan mengerah pasukan tentera ke ibu negara, Colombo bagi mengembalikan ketenteraman.

Beratus-ratus askar lengkap bersenjata secara ganas menyuraikan tunjuk perasaan aman di kem antikerajaan utama di luar pejabat Presiden di Colombo kelmarin, beberapa jam sebelum Perdana Menteri baharu, Dinesh Gunawardena dan 18 anggota Kabinet mengangkat sumpah.

Lebih 50 orang cedera semasa serbuan itu, termasuk wartawan dan peguam, manakala  sekurang-kurangnya sembilan orang telah ditangkap, namun dibebaskan dengan ikat jamin  kemudian.

Parti pembangkang utama, Samagi Jana Balawegaya (SJB), meminta Gunawardena membuka sidang Parlimen esok  (Isnin) untuk membincangkan serangan yang disifatkannya sebagai tamparan kepada demokrasi.

Ahli parlimen SJB dan ketua pembangkang, Lakshman Kiriella berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan tidak wajar itu dikecam sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa dan boleh merosakkan lagi imej negara.

“Krisis ekonomi yang dihadapi Sri Lanka pada masa ini akan menjadi lebih buruk berikutan insiden semalam (Jumaat),” tegas Kiriella.

Rakyat Sri Lanka turun ke jalanan selama beberapa bulan untuk menuntut pemimpin tertinggi mereka, Presiden Gotabaya Rajapaksa  berundur dan bertanggungjawab ke atas kegawatan ekonomi yang menimpa negara.

Sri Lanka yang mempunyai 22 juta penduduk,  bergelut dengan krisis kekurangan barangan keperluan  termasuk bahan api, ubat-ubatan dan makanan.

Kuasa rakyat membawa kepada peletakan jawatan Rajapaksa, selepas beliau  melarikan diri ke Maldives dan kemudian Singapura minggu lalu.

Wickremesinghe yang diangkat sebagai pengganti Rajapaksa tidak dapat meredakan kemarahan rakyat kerana beliau juga dianggap sekutu kuat bekas presiden itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI