Oleh SITI MAS ERRAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam nahas berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang semalam tiba di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Butterworth di sini sebentar tadi.
Jenazah Mohd. Rodhi Othman, 64 dan isteri, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, serta anak mereka, Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32, suaminya, Ahmad Khomaini Abu, 32 serta Zara Hana Ahmad Khomaini, 6, tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 12.56 tengah hari.
Terdahulu, kesemua jenazah yang dibawa menaiki empat van jenazah berlepas dari Hospital Gerik, Perak pada pukul 11.20 pagi.
Kelima-lima jenazah dijangka akan disemadikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua selepas solat Zohor.
Dalam kejadian jam 3.45 petang semalam, lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan kereta pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.
Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.
Lima sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas selesai menghantar ahli keluarga mereka di sebuah pusat pengajian pondok agama di Kota Bharu, Kelantan. -KOSMO! ONLINE