GERIK – Punca kejadian kemalangan di Kilometer 62 berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, yang mengorbankan lima sekeluarga disebabkan bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati kereta pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dari arah Gerik menghala Jeli, Kelantan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki lima ahli keluarga dari arah Jeli ke Gerik.
Menurutnya, akibat kemalangan tersebut pemandu serta empat lagi penumpang Perodua Alza telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa berasal dari Sungai Petani dan Lunas, Kedah, manakala pemandu serta tiga penumpang Toyota Hilux yang berasal dari Tumpat, Kelantan mengalami cedera serta dirawat di Hospital Jeli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Mior Faridalathrash turut mengesahkan kesemua identiti ke lima-lima mangsa yang maut merupakan pasangan suami isteri, anak perempuan mereka, menantu serta cucu perempuan.
Mangsa Mohd. Rodhi Othman, 64; isterinya, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, anak perempuannya, Siti Aishah, 32, menantu Ahmad Khomaini Baba, 32; serta cucu Zara Hana, 6.
Semalam, media melaporkan lima termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan berhampiran Hentian Titiwangsa JRTB Gerik-Jeli, kira-kira puku 3 petang.
Anak sulung mangsa Mohammad Firdaus, 35, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik, memaklumkan arwah ayah, emak, adik perempuan, ipar serta anak saudara dalam perjalanan pulang ke Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang bagi menziarahi saudara mereka yang meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE