fbpx

Lima beranak maut kemalangan: dalam perjalanan ziarah saudara meninggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan jalan raya berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik semalam. /FOTO ZULFACHRI ZULKIFLI

GERIK – Lima beranak yang maut dalam nahas jalan raya berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam dikatakan dalam perjalanan pulang ke Sungai Dua, Butterworth bagi menziarahi saudara mereka yang meninggal dunia.

Mangsa, Mohd. Rodhi Othman, 58, Ahmad Khomaini Abu, 30-an, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, Siti Aishah Mohd. Rodhi, 32 dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5, sebelum itu baharu sahaja selesai menghantar ahli keluarga mereka mendaftar masuk di salah sebuah sekolah pondok di Pasir Tumboh, Kelantan awal pagi semalam.

Anak sulung Mohd. Rodhi, Mohammad Firdaus, 35, berkata, arwah bapa, ibu, adik perempuan, adik ipar serta anak buahnya itu sepatutnya pulang hari ini selepas menghantar adik ketiganya berusia 29 tahun ke sekolah berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun ibunya menerima panggilan bahawa bapa mertua kepada adik ibunya itu meninggal dunia dan akan dikebumikan di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.

“Mereka semua bergerak ke Kelantan semalam (Jumaat) selepas mendaftar adik di sekolah agama pagi tadi (semalam), kemudian mereka mendaftar keluar dari hotel jam 12 tengah hari kerana menerima panggilan mengenai kematian saudara kami.

“Saya memang tak sangka mereka akan balik awal sebab pagi tadi (semalam) saya sempat menghubungi emak dan berbual dan dia tidak menujukkan apa-apa perubahan.

“Kemudian tidak lama selepas itu isteri saya menelefon memberitahu jiran kami memaklumkan emak, ayah, adik, adik ipar dan anak saudara saya terlibat dalam kemalangan, saat itu saya terkejut dan lemah tidak boleh fikir apa-apa,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Gerik, di sini, malam tadi.

Ujar Mohammad Firdaus, meskipun masih terkejut dan tidak mempercayai apa yang berlaku, dia redha dengan pemergian kelima-lima ahli keluarganya dan memaklumkan kesemua mereka akan dikebumikan kampung halaman di Sungai Dua, Butterworth.

“Jenazah arwah emak dan ayah saya akan dikebumikan satu liang, manakala jenazah arwah adik bersama suami dan anaknya di dalam satu liang yang lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI