PADANG BESAR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan bagi membolehkan pembentukan kerajaan yang stabil untuk mentadbir negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pembentukan kerajaan yang stabil sememangnya amat diperlukan memandangkan negara bakal berdepan dengan pelbagai cabaran selepas ini.
Beliau berkata, selain itu, langkah tersebut juga dapat memberikan keyakinan kepada pelabur luar untuk terus bertapak di negara ini.
“Sekarang ini keadaan 50-50 dan pelabur luar tak nak masuk mungkin sebab tidak ada keyakinan atau salah satunya kerana kerajaan tak stabil.
“Jadi kita tengah usaha kalau cepat (pilihan raya) lagi baik sebab untuk tunjuk bahawa kita mempunyai kerajaan yang stabil,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa ribut di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Mata Ayer dekat sini hari ini.
Zahidi berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan bahawa pada Oktober atau awal November adalah tempoh sesuai untuk diadakan PRU-15.
Mohamad sebelum ini turut memaklumkan beliau secara peribadi melihat tempoh berkenaan adalah ideal kerana pembentangan bajet dapat diawalkan sebelum pembubaran Parlimen dilakukan.
Dalam pada itu, Zahidi berkata, gesaan bagi mempercepatkan PRU-15 juga adalah selaras dengan perbincangan yang dicapai oleh pimpinan UMNO sebelum ini.
“Namun rakyat kenalah buat keputusan. Kalau tak nak UMNO, pilihlah parti lain tapi jika mahukan parti yang stabil dan kukuh, pilihlah UMNO,” katanya. – KOSMO! ONLINE