fbpx

7 rumah kedai musnah dijilat api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran rumah kedai dalam kejadian di Jalan Dato Mohd. Ali, Endau, Mersing hari ini.

MERSING – Tujuh buah rumah kedai musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran berlaku di Jalan Dato Mohd. Ali, Endau petang tadi.

Dalam insiden kira-kira pukul 1.17 tengah hari itu, kejadian disedari pemilik kedai menjual alatan sembahyang yang ternampak api dari dalam kedai tersebut sebelum meminta bantuan orang ramai untuk memadamkan api namun gagal.

Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, seramai 25 anggota bomba dari BBP Endau, Mersing dan Rompin juga dibantu pasukan bomba sukarela serta agensi kerajaan seperti polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor terlibat dalam operasi berkenaan.

Katanya, kedai yang terbakar adalah sebuah kedai elektrik, kedai servis penghawa dingin, kedai menjual alatan sembahyang, kedai buah, kedai emas, kedai runcit serta sebuah kedai kosong.

“Kebakaran melibatkan tujuh buah rumah kedai lama dua tingkat jenis separuh kekal dimana bahan binaan terdiri daripada kayu serta papan lapis dan tiada dinding pengasing diantara satu sama lain telah terbakar 90 peratus.

“Terdapat tiga buah bangunan yang berhampiran turut terlibat akibat bahangan sebanyak 10 peratus ia melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat jenis kekal, sebuah warung jenis separuh kekal dan sebuah rumah kedai dua tingkat jenis separuh kekal.

“Keadaan cuaca yang panas serta tiupan angin kuat menyebabkan api cepat merebak. Namun pihak bomba berjaya mengawal api dalam tempoh setengah jam dan operasi berjaya ditamatkan pada pukul 7.41 malam,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihak bomba juga masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian.

Menurutnya, faktor struktur kedai yang diperbuat daripada kayu dan merupakan bangunan lama sememangnya amat berisiko tinggi apabila berlaku kebakaran.

Tambahnya, di deretan lokasi yang sama juga pernah berlaku kejadian kebakaran melibatkan tujuh buah kedai musnah pada tahun lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI