DINOBATKAN sebagai juara sulung Ratu Hijabista 2020 bukanlah sesuatu yang sudah cukup dibanggakan, sebaliknya gelaran itu membulatkan hati anak kelahiran Kelantan ini untuk terbang lebih tinggi dalam industri seni.
Memiliki paras rupa yang menawan, Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman, 23, mula mengorak langkah menjadi pengacara rancangan televisyen dan pelakon drama.
Ditanya mengenai persiapan dirinya untuk menceburi dunia glamor itu, dia yang mesra dengan panggilan Qila
Shahirah memberitahu Kosmo! Ahad tentang prinsip hidupnya yang mengutamakan disiplin diri dan kualiti produk.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan tentang diri Qila?
Qila: Saya adalah juara sulung Ratu Hijabista 2020 dan kini sedang menghabiskan semester terakhir bagi Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara dalam jurusan Komunikasi Massa.
Ada pihak lamar Qila jadi pelakon?
Ada. Saya ditawarkan memegang watak seorang anak gadis bagi drama untuk TV3 tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.
Watak apa yang Qila teringin lakonkan?
Sebenarnya saya orang yang mudah menangis. Jadi, saya memang suka kalau dapat watak wanita penuh emosi. Qila yakin dapat sampaikan watak itu dengan baik kepada penonton.
Kalau diberi peluang, pelakon lelaki mana Qila nak bergandingan?
Adi Putra sebab dia ada karisma dan sentiasa dapat menjiwai watak. Tak semestinya berlakon sebagai kekasih tetapi mungkin sebagai adik atau ahli keluarga. Jika pelakon wanita saya pilih Nora Danish.
Dah bersedia masuk dunia glamor, penuh kontroversi?
Bagi saya, sebagai pelakon apa yang penting adalah disiplin dan adab. Bukan hanya dengan produser tetapi juga kru. Disiplin diri amat penting terutama dari segi pengurusan masa di set penggambaran.
Selain jadi pelakon apa lagi Qila nak capai?
Saya nak buka perniagaan sendiri, sama ada baju atau tudung jenama Qila.
Pencapaian yang akan buat Qila rasa dah berjaya?
Apabila saya dikenali ramai sebagai pelakon yang berkualiti, yang berjaya sampaikan watak kepada penonton.
Macam mana dengan ciri-ciri lelaki idaman?
Saya dambakan lelaki beragama, hormat orang tua, tidak baran dan baik hati. Selain itu, Qila nak lelaki yang berpendidikan sebab saya suka bertanya dan berkongsi ilmu baharu, jadi perbualan itu tidaklah sehala.
Diri Qila yang ramai tak tahu?
Kalau tak kenal, orang kata saya sombong dan garang, tapi kalau dah kenal, saya jenis lembut orangnya, kena jentik pun dah menangis.
Isu semasa apa Qila risaukan?
Sekarang banyak kes bunuh ahli keluarga yang disebabkan oleh masalah mental. Jumpalah pakar psikiatri kerana mereka dapat membantu mengubati tekanan mental. Jangan malu atau takut kerana kita bukan gila cuma tertekan. -KOSMO! ONLINE