MELAKA – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menghimpunkan 250 peserta dalam menyediakan juadah asam pedas secara serentak pada Festival Masakan Warisan Melaka (FMWM) 2022 hari ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, ia merupakan kejayaan kedua perbadanan itu selepas pengiktirafan pertama diberikan sempena Festival Sepak Raga Bulatan dan Sepak Bulu Ayam (Capteh) pada 2014.
“Alhamdulillah, Melaka khususnya Perzim berjaya mencatatkan satu lagi rekod memasak hidangan asam pedas serentak apabila kita berjaya mengumpulkan seramai 250 peserta.
“Apa yang unik kali ini mereka menggunakan bahan yang sama iaitu ikan, sayur dan rencah untuk memasak asam pedas yang cukup sinonim dengan Melaka.
“Kesemua peserta memasak pelbagai jenis asam pedas kerana kita mempunyai ramai etnik termasuk Baba dan Nyonya, orang-orang lama serta pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima pengiktirafan daripada Penolong Pengurus Besar Pemasaran MBOR, Aaron Bong Ken Jin di sini, hari ini.
Program tersebut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi).
Akramuddin berkata, paling menarik perhatian adalah penyertaan seorang pelancong dari Perancis, Marius Roche, 21.
“Dia memang tidak tahu memasak asam pedas, tetapi mendaftar sebagai peserta kerana kebetulan melawat Muzium Istana Kesultanan Melaka ini yang dijadikan lokasi program.
“Dia bagaimanapun berjaya menghasilkan menu asam pedas ini dengan bantuan serta ditunjuk ajar daripada peserta lain hingga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE