JAKARTA – Seorang kanak-kanak lelaki di Jawa Barat dipercayai meninggal dunia akibat tekanan perasaan selepas dipaksa melakukan hubungan seks dengan seekor kucing oleh sekumpulan pembuli, lapor laman Coconut News.
Polis di Tasikmalaya sedang menyiasat kematian kanak-kanak berusia 11 tahun tersebut yang dilaporkan meninggal dunia pada Ahad lepas kerana enggan makan dan minum.
Dia menjadi tertekan dan enggan makan selepas pembulinya memaksa dia melakukan hubungan seks dengan seekor kucing, merakam kejadian itu dan menyiarkan video itu di media sosial.
Pihak berkuasa percaya budak lelaki itu memendam perasaan dan tidak memberitahu ibu bapanya tentang kejadian itu.
“Sebelum budak lelaki itu meninggal dunia, dia menjadi mangsa keganasan dan buli oleh rakan-rakannya, sehingga mereka menyuruhnya melakukan hubungan seksual dengan haiwan.
“Kami masih meneliti sama ada kanak-kanak itu mempunyai penyakit lain atau jika dia mati semata-mata kerana enggan makan akibat kemurungan,” kata Pengurus Program Institusi Perlindungan Kanak-Kanak Jawa Barat, Diana Wati. – Agensi