MADRID – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengumumkan lebih 500 orang terkorban semasa 10 hari gelombang haba berlaku dengan Eropah mengalami kerugian sepanjang tempoh suhu ekstrem tersebut.
Penunjuk perasaan perubahan iklim berkata, cuaca panas melampau itu sepatutnya menjadi isyarat kepada benua Eropah.
“Ini tiada kaitan dengan ideologi tetapi ini realiti. Planet kita berdepan darurat iklim,” kata Sanchez ketika berucap di lokasi kebakaran hutan di rantau Zaragoza, timur laut Sepanyol.
Beliau memetik angka yang disiarkan oleh Institut Kesihatan Carlos III. Institut berkenaan menganggarkan angka korban berkaitan gelombang haba dan melakukan perbandingan dengan tahun-tahun sebelumnya.
Sementara itu, anggota-anggota bomba Greece mendapat momentum dalam usaha mengawal kebakaran hutan yang marak pada hari kedua di kawasan pergunungan pinggir Athens. Api marak memaksa beratus-ratus penduduk lari menyelamatkan diri, kata seorang pegawai.
“Secara keseluruhan, kebakaran hutan semakin reda,” kata jurucakap jabatan bomba, Yiannis Artopios kepada pemberita.
Greece tidak berdepan gelombang haba ekstrem seperti di barat Eropah tetapi api yang merebak akibat angin kuat, mengancam kawasan pinggir bandar Penteli, Pallini, Anthousa dan Gerakas. Berpuluh-puluh ribu penduduk mendiami bandar-bandar tersebut.
“Bahang panas terasa di belakang kami. Kami bernasib baik kerana segera melarikan diri. Sekiranya kami tinggal 30 saat lebih lama, kami tentu akan rentung,” kata penduduk yang hilang keretanya akibat dijilat api, Pallini kepada stesen televisyen ERT.
Di Perancis, anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran berkembar dekat bandar Bordeaux, barat laut Perancis. Suhu lebih 40 darjah Celsius di Perancis berbanding hari-hari sebelumnya menyebabkan jutaan penduduk menderita dan memecahkan rekod suhu di negara itu.
Di Portugal dan Britain, angin sejuk yang bertiup Rabu lalu memberi kelegaan kepada penduduk kedua-dua negara, namun beribu-ribu anggota bomba terus berusaha untuk mengawal kebakaran yang tercetus di berbilang negara Eropah selepas keadaan kering menyerupai kemarau melanda selama beberapa bulan.
“Penilaian kami secara amnya adalah positif. Situasi menjadi semakin baik,” kata jurucakap perkhidmatan bomba Perancis, Arnaud Mendousse kepada agensi berita AFP dari Gironde.
Rantau berkenaan berdepan dua kebakaran besar yang memusnahkan hutan seluas 20,600 hektar sejak minggu lalu.
Sementara itu, gelombang haba mencatat rekod suhu sepanjang zaman di Britain apabila termometer mencatat bacaan 40.3 darjah Celsius di timur England. Bacaan itu memecahkan rekod suhu sebelum ini pada 2019.
Kebakaran tanah rumput turut berlaku di pinggir London pada Selasa lalu dengan satu kebakaran memaksa 14 orang dari bangunan ladang, kediaman dan garaj yang terbakar dipindahkan.
“Seramai 16 anggota bomba cedera di sekitar London dengan dua daripada mereka dibawa ke hospital,” kata Briged Bomba London.
Beratus-ratus anggota bomba turut dikerah ke barat Slovenia Rabu lalu untuk memadamkan api yang memaksa sebilangan perkampungan dikosongkan, kata perkhidmatan kecemasan.
Kebakaran di Slovenia bermula Selasa lalu di rantau diliputi hutan, Karst berikutan cuaca kering dan suhu panas. – AFP