fbpx

‘Dia gantikan kami dengan bayi lelaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORHANAZIELAH bergambar bersama anak ketiga mereka di Hospital Pulau Pinang, George Town di sini petang semalam.

GEORGE TOWN – Isteri kepada arwah Muhammad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, penunggang motosikal yang maut dalam kejadian kemalangan melibatkan beberapa kenderaan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini Ahad lalu selamat melahirkan cahaya mata ketiga semalam.

Norhanazielah Hanazi, 28, selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kilogram di Hospital Pulau Pinang kira-kira pukul 3 petang, selepas lima hari kematian suaminya.

Menurut Norhanazielah, dia terpaksa menerima hakikat akan pemergian Muhammad Eizreel akibat kemalangan dan perlu tabah menghadapi dugaan dalam membesar tiga anak mereka yang masih kecil.

“Kehadiran bayi lelaki ini membuatkan saya terus kuat dan rasa bersemangat semula untuk terus harungi perjalanan hidup. Memang rasa sedih kerana arwah tiada di sisi ketika melahirkannya.

“Namun saya tetap bersyukur kerana Allah menggantikan suami dengan seorang bayi lelaki. Kelahirannya juga mudah, kurang dua jam saya dimasukkan ke wad pada pukul 1 petang semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Ibu tunggal kepada Nur Qisya Eizreel, 8, dan Nur Diyana Mikayla, 4, memberitahu lagi, bayi ketiga mereka itu belum sempat diberi nama oleh arwah berbanding dua kakaknya.

“Arwah ada cakap dia tak mau (tidak mahu) fikir lagi tentang nama bayi (anak ketiga) semasa dalam kandungan, tunggu saya lahirkannya dahulu.

“Rupanya, arwah hendak tinggalkan kenangan untuk kami empat beranak dan pergi buat selama-lamanya,” ujarnya.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi itu turut mengorbankan empat lagi penunggang motosikal iaitu Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul ,19, Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 dan Mohd. Haziq Harris, 34. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI