SEBASTOPOL, CALIFORNIA – Seorang lelaki di California, Amerika Syarikat (AS) dijangkiti Covid-19 dan cacar monyet serentak, menyebabkan dia jatuh sakit selama berminggu-minggu, lapor akhbar New York Post semalam.
Mitcho Thompson dari bandar Sebastopol, memberitahu stesen televisyen NBC Bay Area bahawa dia pada mulanya diuji positif Covid-19 akhir Jun lalu.
Dia kemudian mula mengesan kudis kecil di seluruh punggung, kaki, lengan dan lehernya.
“Doktor sangat pasti bahawa saya menghidap cacar monyet dan dijangkiti Covid-19.
“Saya bertanya kepadanya, bolehkah saya dijangkiti kedua-dua penyakit pada masa yang sama? Dan dia berkata, ya,” kata Thompson.
Menurut Thompson, dua virus itu membuatkan dia berasa seolah-olah menghidap kes influenza yang teruk.
Dia mengalami demam panas, sesak nafas, menggigil, sakit badan dan luka pada kulit.
“Sangat sakit. Dan paling teruk adalah saya hampir tidak boleh bangun dari katil dan hampir tidak minum air,” tambahnya.
Pakar penyakit berjangkit di Universiti Stanford mengesahkan seseorang boleh dijangkiti kedua-dua virus itu secara serentak.
“Sudah tentu tidak mustahil untuk perkara itu berlaku. Ia hanya nasib malang yang luar biasa. Dua virus itu sangat berbeza,” kata Dr. Dean Winslow kepada NBC Bay Area. – Agensi