KUALA SELANGOR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghasilkan vaksin sendiri selain menyediakan perkhidmatan perubatan sedia ada.
Titah baginda, hospital itu perlu menghasilkan perubatan yang boleh menaikkan nama dan khidmat kepada rakyat setempat.
“Beta mencabar pengurusan hospital ini menghasilkan perubatan atau vaksin sendiri dan bukan sekadar perkhidmatan yang ada ketika ini.
“Beta berharap perjalanan dan urusan hospital untuk menjadi yang terbaik di Selangor dan negara ini,” titah baginda ketika berkenan merasmikan hospital itu di Puncak Alam di sini, hari ini.
Turut berangkat mengiring, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah lskandariah di samping Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.
Selain itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor turut hadir pada majlis tersebut.
Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UiTM bertitah, baginda amat terharu dan berbangga hospital itu dinamakan atas namanya.
“Walaupun hospital ini berada jauh mata (Selangor), tetapi ia dekat di hati beta.
“Beta berharap perkhidmatan hospital dapat dipertingkatkan dan namanya lebih terserlah lagi nanti,” titah baginda.
Hospital Al-Sultan Abdullah yang berkeluasan 18.4 hektar itu dilengkapi 400 katil, 98 klinik pakar, 17 dewan dan wad serta 16 kerusi dialisis.
Perkhidmatan yang disediakan di hospital yang beroperasi sejak 5 April 2021 itu antaranya rawatan kecemasan, perubatan dalaman, kardiologi, pembedahan am, plastik dan ortopedik selain rawatan bagi ibu hamil, bayi, remaja dan orang dewasa. -KOSMO!ONLINE