PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan program kerjasama strategik antirasuah di Taman Jaya di sini hari ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (SUPM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, program terbabit dihadiri Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Nurahim Abd. Rahim.
“Program tersebut turut menyaksikan berlangsungnya upacara melafaz dan menandatangani ikrar bebas rasuah.
“Program itu bertujuan menyampaikan mesej kepada orang ramai agar menghindari perbuatan menawarkan rasuah kepada penjawat awam dan mendidik warga PDRM agar menolak rasuah,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pelaksanaan program tersebut juga adalah selaras dengan pelan antirasuah PDRM dalam menyahut seruan kerajaan yang ingin menjadi negara bebas rasuah dan berintegriti tinggi.
“Menerusi program tersebut, orang ramai yang hadir turut berpeluang mendengar ceramah berkaitan rasuah dan melihat pameran daripada kedua-dua agensi terbabit.
“Jalinan kerjasama tersebut merupakan kesinambungan daripada pemeteraian memorandum persefahaman bersama SPRM sejak tahun 2016 dalam menangani jenayah rasuah dengan lebih berkesan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE