fbpx

BKM RM124 juta bantu atasi kadar kemiskinan di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM124 juta kepada hampir 590,000 penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas dalam usaha untuk mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada golongan M40.

“BKM merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion.

“Kaedah menangani miskin tegar dengan secara holistik melibatkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti, badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sedang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menghapuskan miskin tegar pada tahun 2025,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, menurut Ismail Sabri, kawasan Tok Bali di Pasir Puteh disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu menerusi insentif cukai khas dan projek berimpak tinggi bagi memastikan ekonomi di Kelantan digerakkan sepenuhnya.

Katanya, projek tersebut dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali.

“Usaha ini dapat menyumbang kepada sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion yang dijangka mampu menjana sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk penduduk tempatan.

“Kerajaan juga akan membina sebuah kompleks digital pelbagai guna berkonsepkan hiburan sukan melibatkan kos RM6 juta di kawasan seluas 23 hektar di Ketereh,” katanya.

Kata Ismail Sabri, Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang 191 kilometer dengan kos RM7.7 bilion antara Gua Musang hingga Kuala Krai pula dijangka siap pada tahun 2026.

Ujarnya, projek itu memudahkan perjalanan rakyat dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

“Selain itu, Kelantan juga akan memperoleh manfaat daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan Kota Baharu ke Pelabuhan Klang melibatkan jaringan kawasan 43.86 kilometer.

“Ia melibatkan dua buah stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI