fbpx

Kadar inflasi Malaysia terendah di Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tiga dari kanan) semasa tiba ke Majlis Perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini. FOTO ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Malaysia masih mengalami inflasi kadar terendah di Asia Tenggara selepas kerajaan berterusan menangani kenaikan harga barangan dengan memberikan subsidi berjumlah RM77 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan harga jagung bijiran, baja dan kenaikan kos logistik telah menyebabkan peningkatan harga barangan yang menyaksikan kadar inflasi turut meningkat tinggi.

“Ketidaktentuan ekonomi global, krisis geopolitik selain perubahan iklim dunia memberi kesan dan cabaran kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia.

“Kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia tentang kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan.

“Sehubungan itu, sebanyak RM1.1 bilion dibelanjakan untuk subsidi ayam dan telur dan RM4 bilion untuk minyak masak peket,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Ismail Sabri pada persidangan Dewan Rakyat sebelum ini menyifatkan tindakan kerajaan meneruskan dan meningkatkan peruntukan subsidi lebih RM77 bilion tahun ini menjadi antara punca inflasi negara kekal rendah malah berjaya menstabilkan harga barangan.

Katanya, ini dibuktikan menerusi purata harga ayam yang menurun pada bulan ini, hasil tindakan meneruskan subsidi yang ditanggung kerajaan.

“Subsidi menyebabkan inflasi kita kekal rendah, mungkin paling rendah di Asia Tenggara dan mungkin juga di seluruh dunia. Inflasi negara kekal pada 2.8 peratus dan jika subsidi tidak diberikan, inflasi negara mungkin meningkat kepada lapan hingga 11 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI