PETALING JAYA – Penuh kejutan, penyanyi popular Wany Hasrita selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Mohd. Al-Adib Fahmi Harun dengan dua kali lafaz pada pukul 9.11 malam di Glam Hall, Damansara Perdana, Kuala Lumpur.
Pasangan yang masing berusia 30 tahun itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Hasbullah Hassan, 56, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.
Pemilik nama penuh Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu turut menerima mas kahwin sebentuk cincin berlian.
Pasangan tersebut turut memilih untuk merahsiakan wang hantaran dan tiada dulang hantaran daripada kedua-dua pihak.
Selepas hampir 12 tahun kenal hati budi, pelantun Belenggu Rindu itu bersyukur majlis yang dirancang berjalan lancar.
“Alhamdulillah, saya bersyukur majlis pernikahan ini berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.
Terima kasih kepada mak, ayah, keluarga, rakan-rakan, pihak media dan peminat yang tanpa jemu menitipkan doa yang baik-baik buat saya tidak kira untuk kerjaya mahu pun peribadi,” katanya.
Tambahnya, status seorang isteri merupakan satu perkara baru dalam hidupnya dan memilih untuk memberi keutamaan buat keluarga selepas ini.
“Insya-Allah, ini adalah fasa baharu buat saya dan suami. Perjalanan kami masih panjang dan tanggungjawab menjadi isteri tetapi dalam masa sama bergelar anak seni akan saya cuba berikan yang terbaik. Cuma, selepas ini tentu saja keluarga menjadi keutamaan saya.
“Saya berdoa agar semoga segalanya dipermudahkan. Paling penting juga, saya mohon untuk semua mendoakan yang terbaik buat saya dan suami dalam melayari bahtera perkahwinan ini,” ujarnya.
Meleraikan tanda tanya ramai mengenai lelaki yang berjaya menambat hatinya yang juga bekerja dalam bidang penerbangan di Kuching, Sarawak itu, Wany berkata, mereka mula rapat sejak 2019.
“Jika diikutkan, saya sudah kenal Adib sejak 2010 lagi melalui rakan baik saya yang juga sepupunya dan waktu itu pun saya belum menjadi penyanyi lagi.
“Pada 2019 barulah kami mulai menjadi rapat. Jadi, kami mula mengikuti antara satu sama lain dalam Instagram dan banyak berhubung di situ.
“Ada satu hari dia melawak mengenai kartun Thomas & Friends. Saya pun boleh layan. Sejak itu, kami terus rapat dan saling memahami dalam banyak perkara,” kongsinya.
Tutur pemilik Anugerah Bintang Paling Popular ABPBH31 itu, dia dan suami tidak pernah memberi justifikasi terhadap hubungan mereka sebelum melansungkan majlis pertunangan pada 26 Februari lalu.
“Sejak awal perhubungan, kami tidak terfikir untuk cuba-cuba tapi memang nak berkahwin.
“Itu yang kami ambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu pada 26 Februari lalu di sebuah hotel di Sepang yang hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat saja,” katanya lagi.
“Kalau diikutkan memang majlis kahwin dibuat lebih awal tetapi disebabkan jarak kami yang mana dia bekerja di Kuching, masa dan komitmen kerjaya, jadi kami ambil keputusan untuk cari waktu paling sesuai untuk kedua-dua pihak,” tuturnya.
Mengambil pendekatan untuk merahsiakan hal suaminya daripada umum, perkara itu lebih kepada menghormati peribadi Mohd Al-Adib.
“Bukan rahsia sebenarnya. Saya pun belajar daripada pengalaman sebelum ini yang mana selagi belum ada ketetapan yang sahih dalam perhubungan itu tidak perlu dikongsikan.
“Itu sebab dalam perhubungan kali ini, saya mengambil pendekatan sebegitu. Biar semuanya sudah sah, barulah kita kongsi.
“Lagi pula dia tak suka menonjolkan diri apatah lagi di media sosial.
“Jadi saya kena belajar untuk menjaga privasi itu. Walaupun dia jenis tak kisah, tapi saya sendiri yang nak menjaga atas dasar menghormati,” katanya.
Majlis pernikahannya dihadiri kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan terdekat dan rakan media.
Busana kedua mempelai pula mendapat sentuhan pereka Altelia Amani.
Sementara, majlis kesyukuran bagi meraikan pasangan pengantin baharu ini akan diadakan pada 24 Julai ini bertempat di Cheras, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Wany membuat kejutan dengan memuat naik sekeping foto kad undangan perkahwinannya yang berlangsung pada hari ini. – KOSMO! ONLINE