PENGENDALI skuad Selangor FC, Michael Feichtenbeiner enggan memikirkan tentang status masa depannya sebaliknya berusaha untuk membantu pasukan tampil cemerlang pada aksi suku akhir Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.
Sebagai rekod, masa depan Feichtenbeiner bersama skuad Gergasi Merah menjadi persoalan susulan kegagalan menerapkan ‘DNA Jerman’ selepas mempamerkan aksi tidak konsisten sepanjang musim ini.
Malah, terdapat spekulasi yang mendakwa kelibat jurulatih import dari Jerman itu akan digantikan dengan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe atau bekas ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney.
Feichtenbeiner berkata, buat masa ini fokus utama adalah untuk memastikan pasukan mencapai sasaran dengan menyingkirkan skuad The Rhinos, sekali gus mara ke kelompok separuh akhir Piala FA musim ini.
“Tiada apa yang boleh saya komen mengenai masa depan saya kerana buat masa ini saya fokus dengan tugasan harian kerana masih memiliki kontrak dan tumpuan kini terarah kepada aksi bertemu Sabah,” katanya.
Mengulas mengenai aksi suku akhir menentang Sabah, Feichtenbeiner percaya, skuad tuan rumah kendalian Datuk Ong Kim Swee memiliki ramuan tersendiri, selain berjaya mempamerkan keputusan positif pada kempen musim ini.
“Kita dapat lihat Sabah beraksi pada dua perlawanan terakhir di laman sendiri menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), yang mana mereka tidak bernasib baik apabila dibolosi pada minit terakhir,” katanya.