KANGAR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak mempunyai alasan untuk menolak permohonan UMNO berhubung pindaan perlembagaan parti itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti telah memenuhi segala kehendak dan peraturan RoS bagi membolehkan pindaan perlembagaan tersebut diluluskan.
Beliau berkata, sekiranya RoS tetap menolak permohonan itu, UMNO terpaksa melakukan pemilihan jawatan kuasa parti mengikut proses ditetapkan.
“Dalam masa sama UMNO akan lakukan semakan perundangan terhadap penolakan tersebut memandangkan kita nak tahu apa sebabnya.
“UMNO telah memenuhi segala kehendak dan peraturan RoS dengan melakukan mesyuarat agung tahunan (AGM) , menyediakan minit mesyuarat, senarai kehadiran dan sebagainya. Jadi tidak ada isu kita tidak ikut perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pertemuan Bersama Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, UMNO juga akan menunggu maklum balas daripada RoS berhubung keputusan permohonan itu sehingga awal bulan Ogos ini dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut proses ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, keputusan bagi menangguhkan pemilihan parti itu dibuat secara konsensus bagi menggelakkan berlakunya perpecahan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Katanya, keutamaan UMNO pada masa ini hanyalah untuk memenangi PRU-15 dan kebanyakkan pemimpin atasan berpandangan lebih baik pemilihan parti ditangguhkan terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE