GENEVA, Switzerland – Terdapat 40 peratus lebih banyak harimau di habitat liar berbanding jangkaan sebelum ini, namun bilangan maksimum 5,578 ekor harimau menunjukkan haiwan itu kekal sebagai spesies terancam, kata ahli-ahli pemuliharaan kelmarin.
Peningkatan bilangan itu berpunca daripada penambahbaikan pemantauan dengan populasi harimau dipercayai stabil atau semakin meningkat, kata Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN).
Walaupun harimau masih terancam, trend populasinya menunjukkan kejayaan projek IUCN seperti Program Integrasi Pemuliharaan Habitat Harimau, manakala pemulihan spesies itu boleh dilakukan selagi usaha pemuliharaan diteruskan.
Ancaman utama termasuk pemburuan harimau itu sendiri, pemburuan mangsa harimau selain pemusnahan habitat, kata IUCN.
“Meluaskan dan menghubungkan kawasan yang dilindungi, memastikan ia diuruskan secara berkesan serta bekerjasama dengan masyarakat yang tinggal di habitat harimau adalah kritikal dalam melindungi spesies tersebut,” katanya.
Semakan semula populasi harimau dibuat ketika IUCN mengemas kini Senarai Merah Spesies Terancamnya. Sebanyak 147,517 spesies disemak semula dalam versi terbaharu senarai IUCN dengan 41,459 spesies dianggap diancam kepupusan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,065 spesies dikategorikan amat terancam. –AFP