WASHINGTON – Sejumlah 95 peratus kes cacar monyet berjangkit melalui aktiviti seksual, demikian menurut satu kajian terbesar setakat ini.
Kajian itu disiarkan dalam penerbitan New England Journal of Medicine kelmarin ketika pakar-pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdebat sama ada mahu mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan global sekali gus amaran tertinggi WHO.
Diketuai oleh saintis-saintis Universiti Queen Mary di London, penyelidikan tersebut menganalisis 528 jangkitan disahkan cacar monyet di 16 buah negara antara 27 April hingga 24 Jun tahun ini.
“Adalah penting untuk menekankan bahawa cacar monyet bukanlah penyakit kelamin seperti pemahaman tradisional kerana ia boleh berjangkit menerusi sebarang bentuk sentuhan.
“Namun, penyelidikan kami mendapati jangkitan terbesar mempunyai kaitan dengan aktiviti seksual terutamanya seks sesama lelaki.
“Kajian ini juga meningkatkan pemahaman tentang bagaimana cacar monyet merebak dan kumpulan yang dijangkitinya. Ini dapat membantu untuk mengenal pasti kes baharu dengan segera dan membolehkan kami menawarkan strategi pencegahan,” kata pengarang utama kajian itu, John Thornhill.
Secara keseluruhan, 98 peratus pesakit adalah lelaki gay atau biseksual dengan 41 peratus menghidap HIV, manakala umur median ialah 38 tahun.
Bilangan median pasangan seks pesakit cacar monyet tiga bulan sebelum dijangkiti ialah lima orang, manakala satu pertiga mengunjungi tempat hiburan liar seperti parti seks atau sauna.
Walaupun aktiviti seksual menjadi punca kepada kebanyakan kes cacar monyet, pasukan penyelidik berkenaan menekankan dalam satu kenyataan bahawa virus itu boleh merebak melalui sebarang sentuhan fizikal termasuk titisan pernafasan dan berpotensi berjangkit melalui pakaian dan permukaan lain.
Ramai pesakit menunjukkan simptom yang belum pernah dikaitkan dengan wabak cacar monyet termasuk ruam pada kemaluan dan kudis pada mulut atau dubur. – AFP