ALOR SETAR – Kumpulan Bernas melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) sejak Januari lalu telah melaksanakan Program Makanan Kesihatan (Promak) bagi membekalkan makanan berkhasiat kepada pelajar sekolah rendah di seluruh negara.
Program dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) telah membekalkan set makanan tengah hari kepada pelajar sebaik mereka selesai menjalani sesi pembelajaran di sekolah masing-masing.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Bernas, Datuk Haris Fadzilah Hassan, usaha merealisasikan Promak bertujuan untuk menyokong usaha kerajaan dalam menangani masalah malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak selain memperkasakan generasi muda dengan makanan berkhasiat.
“Usaha ini bermula dengan keprihatinan terhadap cabaran dihadapi ibu bapa berpendapatan rendah membekalkan makanan seimbang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Secara keseluruhannya, kami menyasarkan sebanyak 20,000 murid untuk mendapat manfaat daripada program ini. Melalui progam ini, sekolah terpilih akan menikmati makanan sihat di sekolah setiap hari bagi tempoh lima tahun bermula 2022 hingga 2026,” katanya.
Sejak mula dilancarkan pada 9 januari lalu, seramai 3,000 pelajar di Kelantan dan Terengganu sudah menerima manfaat daripada program tersebut.
Kemudiannya program tersebut diperluaskan pula di Kedah melibatkan 8,000 pelajar di 33 sekolah bermula 20 Jun lepas dan jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 10,500 pelajar pada akhir Ogos. Program sama juga dijangka akan diperluaskan ke Perlis tidak lama lagi.-KOSMO! ONLINE