PARIS – Bekas juara dunia Formula Satu (F1), Sebastian Vettel mengakui sudah mula berbincang dengan pihak pengurusan Aston Martin untuk kekal pada saingan musim depan selain mendakwa penghijrahan ke pasukan McLarens sebagai khabar angin.
Sebagai rekod, Vettel yang kini berusia 35 tahun masih belum mengesahkan masa depannya dalam saingan F1 memandangkan kontraknya bersama Aston Martin akan berakhir pada penghujung musim ini.
Juara F1 empat kali berturut-turut bermula 2010 hingga 2013 itu mengakui fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan pasukan dapat menamatkan kempen musim ini dengan cemerlang sebelum membuat keputusan rasmi.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, akan tiba masanya saya berbincang dengan pihak pengurusan mengenai status masa depan saya dan kini saya boleh sahkan bahawa kami sudah berbuat demikian kerana saya mahu kekal di sini.
“Apa yang pasti, saya percaya pasukan ini memiliki kualiti dan masa depan yang cerah untuk terus memberikan saingan kompetitif dan buat masa ini tumpuan saya hanyalah bersama Aston Martin.
“Mengenai dakwaan akan berhijrah ke McLaren, ia hanyalah khabar angin meskipun harus diakui saya mengenali beberapa individu di sana,” kata Vettel menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis yang akan berlangsung malam esok.
Sebelum ini, ketua pasukan Aston Martin, Mike Krack memberi bayangan bahawa mereka sudah menawarkan kontrak lanjutan kepada Vettel dan kini terpulang kepada pelumba kelahiran Jerman itu untuk bersetuju atau sebaliknya. – AGENSI