RABAT, Maghribi – Penyerang Bayern Munich, Sadio Mane membuktikan dia merupakan salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak Afrika selepas memenangi Pemain Terbaik Tahunan Afrika kelmarin.
Kemenangan itu merupakan kali kedua dalam kariernya selepas memenangi anugerah tersebut buat julung-julung kalinya ketika dia masih lagi bergelar pemain Liverpool pada 2019.
Mane yang membantu Senegal memenangi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat pertama kali Februari lalu mengakui gembira, selain berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantunya.
“Saya sangat gembira dan berbangga untuk dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Afrika buat kali kedua. Ini adalah pencapaian yang cukup baik dan sebagai bukti komitmen saya di dalam padang.
“Terima kasih kepada jurulatih, kelab serta rakan sepasukan di pasukan negara kerana sentiasa berada di belakang saya ketika susah dan senang. Anugerah ini adalah hasil bantuan mereka semua,” katanya.
Sebagai rekod, Mane dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika buat kali kedua selepas mengetepikan cabaran penyerang Liverpool, Mohamed Salah serta rakan senegara yang juga penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.
Selain membantu Senegal memenangi AFCON, Mane juga merupakan nadi Liverpool pada musim lalu apabila membantu pasukan itu memenangi Piala FA dan Piala Liga Inggeris (EFL) sebelum berhijrah ke Bayern. – AGENSI