DENGKIL- Sejumlah RM12 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor setiap tahun bagi kerja-kerja membaik pulih pangsapuri kos rendah dan sederhana menerusi Skim Ceria.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, peruntukan tersebut meliputi pelbagai kategori kerja baik pulih termasuklah taman-taman riadah, bumbung, tangki serta fasad bangunan pangsapuri.
“Sebenarnya peruntukan tersebut tidak lah mencukupi kerana negeri Selangor memerlukan pendekatan yang lebih luas dan di luar kotak ekoran kepesatan pembangunannya.
“Ia seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) baru-baru ini mengenai kelulusan 120,000 unit bangunan strata baharu, jadi keseimbangan antara pembangunan baharu dan lama itu perlu ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Negeri Selangor di Pangsapuri Ruvena Villa, Taman Perdana Putra di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rodziah berkata, sebanyak lima lokasi akan dipilih setiap tahun berdasarkan unjuran bagi memastikan kawasan berkenaan mempunyai nilai tambah seperti ruang komuniti dan kebun komuniti selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Katanya, taman riadah Pangsapuri Ruvena Villa merupakan salah satu daripada lokasi yang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan PlanMalaysia Selangor dengan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) sebagai pelaksana. – KOSMO! ONLINE.