PETALING JAYA – Seorang pengamal perubatan menjelaskan mengapa orang ramai disaran supaya mengambil suntikan vaksin influenza sedangkan ada ubat untuk merawat penyakit berkenaan.
Pengarah Perubatan dan Pengasas Klinik Iris Shah Alam, Dr. Arisman Wenge Abdul Rahman berkata, ubat adalah untuk merawat penyakit, manakala vaksin bertujuan mencegah komplikasi yang teruk akibat influenza.
“Ada yang bertanya kalau sudah ada ubat mengapa perlu cucuk vaksin. Contoh macam influenza kita sudah ada ubat antiviral yang khusus untuk merawat influenza.
“Bagaimanapun ubat itu digalakkan diberi seawal tiga hari pertama bergejala baru ia berkesan dan bertindak lebih efektif bagi mengecah implikasi yang teruk.
“Ubat tujuannya untuk merawat, manakala vaksin tujuannya untuk mencegah. Mencegah daripada dimasukkan ke hospital apabila dijangkiti, mencegah daripada masuk unit rawatan rapi (ICU) dan kita juga nak mencegah kematian.
“Itu bezanya walaupun sudah ada ubat untuk merawat kita masih perlukan vaksin,” katanya menerusi laman Facebook.
Mengulas lanjut, Arisman Wenge berkata, golongan berisiko mungkin dimasukkan ke hospital jika dijangkiti influenza walaupun telah menerima suntikan vaksin.
Jelas beliau, golongan berisiko dimaksudkan seperti ibu hamil, kanak-kanak berusia bawah lima tahun dan warga emas yang mengidap penyakit kronik.- KOSMO! ONLINE