KUANTAN – Jabatan Perikanan Pahang tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran bagi membawa masuk ikan alligator gar daripada spesies genus lepisosteus ke negara ini.
Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, ikan itu adalah spesies larangan yang tidak boleh diimport, menjual, memelihara atau menyimpan ikan hidup mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan.
Katanya, apa-apa aktiviti yang bertentangan dengan peraturan itu boleh dikenakan penalti.
“Kemasukan ikan ini mungkin berlaku semasa pengimportan bersama ikan-ikan lain yang dibenarkan.
“Ia mungkin berlaku ketika ikan itu bersaiz kecil yang tidak dapat dicamkan dan apabila sudah besar, mereka lepaskan pula ke sungai, ia satu kemungkinan,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, sejak beliau bertugas di Pahang bermula 2020, ini adalah kali pertama nelayan sungai dikesan dapat menangkap ikan alligator gar di sungai negeri itu.
“Berdasarkan laporan Kosmo!, saya sudah arahkan pegawai perikanan termasuk penguat kuasa berhubung dengan nelayan berkenaan untuk mengambil tindakan lanjut,” ujarnya.
Kelmarin Kosmo! melaporkan, selepas baung ekor merah yang menjadi ikan pemangsa di Sungai Pahang, kini alligator gar yang mempunyai mulut seakan buaya mula bertapak menguasai sungai terpanjang di Semenanjung itu.
Alligator gar dengan gigi yang tajam telah dikesan apabila iklan itu ditangkap di Sungai Pahang dekat Kampung Salong di Pekan. Ikan itu yang pernah direkodkan mencapai berat sehingga 159 kilogram boleh menjadi ancaman baharu kepada populasi ikan tempatan khusususnya ikan liar bermutu tinggi yang terdapat di sungai-sungai Pahang.
Dengan kemampuan bertelur sehingga 150,000 telur bagi seekor ikan yang boleh menetas dalam 10 hari, alligator gar mampu menawan Sungai Pahang jika dibiarkan membiak.