fbpx

Bongkar rahsia kilang buat alat elektronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa pekerja sedang meleraikan barangan elektronik semasa serbuan dilakukan JAS Selangor di Kapar, semalam

KLANG – Kegiatan haram premis memproses sisa elektronik atau e-waste berselindung atas nama kilang membuat alat elektronik sejak enam bulan lalu terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa di Kapar di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi, premis itu didapati menjalankan operasinya tanpa kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Turut disita adalah dianggarkan sejumlah 500 tan komponen barangan elektrik dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pembongkaran itu hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap aktiviti membuat alatan elektronik yang mencurigakan di kilang tersebut.

Katanya, semasa serbuan terdapat 10 warga asing berusia lingkungan 30-an sedang melakukan aktiviti leraian seperti televisyen dan komputer.

“Ini bagi mendapatkan papan litar bercetak yang mengandungi logam-logam berharga seperti kuprum, sebelum dijual kepada premis melebur logam.

“Kesemua barangan itu dipercayai akan dijual bagi pasaran tempatan untuk dilebur menjadi jongkong logam” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan turut mendapati barangan elektronik terpakai tersebut dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.

“Kita sedang menjejaki rantaian aktiviti ini melibatkan pengimport, ejen dan orang tengah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 34B, 34A, 18 dan 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Nor Aziah menegaskan ini merupakan premis keempat yang diserbu pada tahun ini melibatkan pemprosesan e-waste tanpa kelulusan di Selangor. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI