PETALING JAYA – Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang rebah sewaktu berkawad serta dibantu oleh ‘bapanya’ supaya kekal berdiri adalah anak yatim piatu sejak kecil.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemuda itu yang bertugas di Tawau, Sabah adalah anak angkatnya dikenali sebagai Nik Mohd. Adhar manakala lelaki disangka bapanya itu sebenarnya bapa saudaranya.
“Nik Mohd. Adhar merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Sebab itu, kami ambil sebagai salah seorang anak angkat kami sejak di Sekolah Geting Tumpat lagi.
“Dalam gambar yang meluru kepadanya dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya jatuh pitam seketika sewaktu berkawat pagi tadi ialah bapa saudaranya bernama Abdul Aziz Ya’acob, memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa Nik Mohd. Adhar,” katanya pada hantaran Facebook.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, beliau turut menghubungi Nik Mohd. Adhar serta bertanyakan khabar.
“Rupanya dia demam ketika berkawat sempena Hari Penguat kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang pagi tadi. Moga Allah beri kesembuhan yang sempurna kepadanya.
“Terharu juga melihat pakcik yang sudah berumur menzahirkan kasih sayang kepada anak saudara dianggap seperti anaknya sendiri, sanggup meluru dan memapah anaknya ketika rebah berkawat,” katanya.
Kosmo! Online melaporkan, tindakan seorang bapa berlari ke arah anaknya yang rebah sewaktu berkawad serta membantunya supaya kekal berdiri meruntun hati pengguna laman sosial yang terharu melihat situasi tersebut.
Kejadian itu berlaku pagi tadi di Maktab Penjara Kajang sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP dengan beberapa gambar tular di media sosial dikongsikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. -KOSMO! ONLINE