KHABAR angin yang mengatakan Fandi Ahmad bakal melatih Sri Pahang nyata meleset selepas legenda Singapura itu bakal menggalas tugas sebagai Penasihat Teknikal.
Bagaimanapun, pengurusan tertinggi Sri Pahang membuat keputusan untuk sekali lagi memberi peluang kepada bekas pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh memimpin pasukan sehingga akhir musim ini.
“Kelab Bola Sepak Sri Pahang mengumumkan bahawa pengurus pasukan, Dollah Salleh telah dilantik sebagai ketua jurulatih sementara pasukan Liga Super Sri Pahang sehingga akhir musim ini.
“Beliau mengambil alih tugas daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmatnya. Kelab juga mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Gamel.
“Sementara itu, Sri Pahang turut berbesar hati mengumumkan Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal kelab,” menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Sri Pahang, semalam.
Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang, pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan merupakan anggota pasukan yang meraih kejuaraan berganda, Liga Premier dan Piala Malaysia pada 1992.
Selain itu, Fandi yang pernah mengembangkan kariernya di bumi Eropah juga pernah menyarung jersi Kuala Lumpur dan turut memiliki pengalaman dalam bidang kejurulatihan ketika membimbing Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Fandi adalah nama yang cukup tersohor dan pernah bersama Pahang. Pastinya dia juga sudah masak dengan senario dan budaya di Pahang apatah lagi untuk bekerjasama dengan Dollah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang.