fbpx

Padah simpan minyak masak melebihi had dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Surina (kiri) melihat minyak masak yang dirampas dalam operasi di Kampung Baru Padang Besar, hari ini.

PADANG BESAR – Tindakan seorang pembekal minyak masak yang menyimpan bekalan bahan itu melebihi jumlah dibenarkan mengundang padah apabila premisnya di Kampung Baru Padang Besar di sini diserbu pihak berkuasa pada pagi tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, serbuan kira-kira pukul 9 pagi itu mendapati premis tersebut menyimpan minyak masak berkenaan di dalam botol seberat lima kilogram.

Katanya, jumlah penyimpanan minyak masak mengikut lesen yang dibenarkan adalah sebanyak 80,000 kilogram (kg), namun bekalan yang terdapat di premis itu sewaktu operasi sebanyak berjumlah 92,156 kg.

“Jadi terdapat lebihan 12,156 kg minyak masak yang disimpan di premis itu sewaktu operasi itu dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Susulan itu, Surina berkata, pihaknya merampas minyak masak berkenaan dan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang merupakan pemilik premis tersebut.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati premis penyimpanan itu beroperasi dengan memiliki lesen sah.

“Nilai rampasan keseluruhan adalah dianggarkan berjumlah RM48,800. Semua barangan itu dan suspek terlibat diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 13 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI