fbpx

Jati diri, rumpun Melayu hiasi Muzikal Lawak Superstar 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN peserta, juri dan hos yang bakal mewarnai program Muzikal Lawak Superstar musim ketiga yang akan memulakan saingan pada malam ini. Siti Saleha (kanan) dipilih sebagai salah seorang juri tetap MLS3.

PROGRAM Muzikal Lawak Superstar musim ketiga (MLS3) kini kembali menemani malam Jumaat anda dengan saingan yang lebih hebat.

Menampilkan 12 buah kumpulan pelawak dengan gabungan ‘otai’ bersama generasi muda, pastinya MLS3 menjadi program yang dinanti-nantikan dan mengujakan buat para penonton.

Memilih konsep lawak berelemenkan rumpun Melayu sebagai nadi, MLS3 bakal menggabungkan muzik, lakonan dan komedi lantas menyatukan penyanyi, pelawak, pelakon serta personaliti media sosial untuk menjayakan persembahan unik setiap minggu.

Masih mengekalkan penyanyi legenda, Datuk Awie sebagai ketua juri, MLS3 turut mempamerkan muka-muka baharu termasuk pelakon cantik, Siti Saleha dan personaliti serta hos Singapura popular, Najip Ali.

Selebriti versatil, Elly Mazlein atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom pula sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai hos rancangan serta seorang hos baharu yang akan diperkenalkan pada konsert pertama pada Jumaat (hari ini).

PENYANYI Shiha Zikir menyertai Muzikal Lawak Superstar musim ketiga bersama Ali Puteh (kiri) dan Achey. Foto – AFIQ RAZALI

Kesemua 12 kumpulan sudah pun dipilih untuk memulakan cabaran sengit yang pastinya akan mewarnai hiburan para penonton.

Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zahari berkata, antara keunikan yang diserapkan dalam MLS3 ialah penglibatan Key Opinion Leader (KOLs) ataupun personaliti media sosial yang mengambil bahagian sebagai peserta.

“Keunikan utama yang menjadi paparan untuk MLS3 adalah kepelbagaian dalam pemilihan peserta. Ramai wajah baharu yang bukan berasal dari industri hiburan digandingkan dengan muka-muka ‘otai’ dan senior baik dari segi dunia lakonan mahupun dunia komedi.

“Pemilihan muka-muka baharu ini melambangkan kemahuan saluran Astro Warna dalam menarik golongan muda ke saluran kami.

“Demografi ini amat penting untuk pihak kami dalam mengembangkan sasaran penonton di Astro terutamanya untuk genre komedi atau sketsa komedi secara khususnya.

“Malah kebanyakan muka-muka segar ini merupakan golongan content creator (pencipta kandungan) atau personaliti media sosial berpengaruh yang mempunyai pengikut-pengikut dari generasi yang kami sasarkan,” katanya.

Tidak setakat itu, tambah Idlan, kepelbagaian mahupun diversiti diteruskan lagi dengan pembabitan peserta-peserta dari luar negara termasuk Indonesia dan Jepun.

“Sudah semestinya bagi peminat-peminat MLS3 tidak sabar untuk melihat bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan lenggok komedi serta aura persembahan di negara kita terutamanya Kinjo yang berasal dari Osaka, Jepun.

“Selain itu, musim kali ini turut melihat kemunculan cucu kepada seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu Najua P. Ramlee dalam meneruskan legasi keluarga yang berbakat besar dalam persada dunia hiburan,” ujarnya.

FAD Bocey (tengah) bergabung bersama Sharif Zero (kiri) dan personaliti media sosial, Namie membentuk sebuah kumpulan baharu, UBI.

Dalam pada itu, salah seorang peserta iaitu pemenang Anugerah Top Top MeleTOP Wanita untuk Anugerah MeleTOP Era 2021, penyanyi Shiha Zikir menyifatkan penyertaannya dalam MLS3 kali ini sebagai platform untuk mengembangkan bakatnya dalam dunia komedi.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan komedi berskala besar. Jujur, pada mulanya memang berat untuk terima tawaran, tetapi selepas beberapa kali dipujuk Ali Puteh dan Achey, akhirnya saya terima.

“Insya-Allah, saya akan cuba lakukan yang terbaik. Achey dan Ali banyak mengajar dan meyakinkan saya untuk terus kami bertanding setakat mana yang termampu,” katanya.

MLS3 akan berlangsung selama 10 minggu dan bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra Bukit Jalil mulai hari ini, pukul 9 malam menerusi saluran Astro Warna.

MLS3 juga boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

Juara bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM150,000, naib juara pula akan meraih RM75,000, tempat ketiga dan tempat keempat masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM25,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI