fbpx

Pendakwa pertikai pemilik Twitter bocor transkrip rakaman audio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan membangkitkan aduan berhubung tindakan pemilik akaun Twitter yang didakwa membocorkan transkrip rakaman audio dikatakan perbualan antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rakaman audio itu belum ditandakan sebagai eksibit oleh pihak mahkamah ketika dimainkan semalam pada prosiding perbicaraan pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Ahli Parlimen Muar itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mempersoalkan bagaimana pemilik akaun dikenali sebagai `Farhan’ memperoleh transkrip dan kemudian membuat hantaran dalam Twitternya.

Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pendakwaan & Perundangan SPRM menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika kerana mahkamah belum mengesahkan ketulenan suara dalam rakaman audio itu adalah Syed Saddiq dan Penguasa Kanan SPRM, Mohd. Ihsan Sapuan.

Ujarnya, transkrip itu kemudian tersebar kepada pihak media dan disiarkan oleh Astro Awani dan Sinar Harian yang antara lain menyatakan pihak pembelaan mempersoal tindakan SPRM yang didakwa cuba memujuk Syed Saddiq menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan permohonan lisan agar mahkamah memanggil Farhan yang turut berada di mahkamah hari ini manakala Editor Astro Awani serta Sinar Harian memberi penjelasan esok bagaimana transkrip rakaman audio itu diperoleh.

“Ini bukan perkara kecil, mahkamah belum tentukan keaslian pemilik suara namun Farhan membuat dapatannya sendiri. Saya mohon mahkamah memanggilnya memberi penjelasan. Ini kerja budak mentah yang belum empuk lagi nasinya,” ujarnya.

Wan Shaharuddin turut menyatakan wartawan kedua-dua media berkenaan tidak hadir membuat liputan ketika rakaman audio tersebut dimainkan.

Beliau turut mengemukakan satu laporan polis yang dibuat pagi ini berhubung isu kebocoran transkrip rakaman audio tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid ketika memberi maklum balas berhubung perkara itu mengingatkan orang awam agar tidak melampaui batas ketika membuat sebarang komen yang menyentuh perbicaraan Syed Saddiq.

Azhar berpendapat, mahkamah tidak boleh melarang mana-mana pihak mengeluarkan sebarang komen berkaitan perbicaraan kerana hak bersuara termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Namun ujar hakim itu, komen yang diutarakan perlu berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan dan tidak melampaui batas.

Wan Shaharuddin membangkitkan isu itu pada perbicaraan Syed Saddiq, 29, yang menghadapi tuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo tidak bersetuju dengan tuduhan pihak pendakwaan bahawa transkrip itu dibocorkan walhal rakamannya diputarkan di mahkamah dan pihak media turut mendengarnya ketika prosiding berlangsung.

Menurut Gobind, mahkamah juga tidak mengeluarkan larangan kepada orang awam atau pihak media yang membuat liputan supaya tidak menyiarkannya kepada umum.

“Kita perlu bersikap adil kepada pihak media, tidak kira sama ada rakaman itu sudah dijadikan eksibit atau tidak kerana rakaman itu diputar ketika prosiding di mahkamah terbuka,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Syed Saddiq, Datuk S. Ambiga turut meluahkan rasa kecewanya dengan isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan yang disifatkan cuba membuli orang awam dengan membuat laporan polis berkaitan isu yang menyentuh integritinya.

Perbicaraan bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI