KUALA KANGSAR – Seorang wanita didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menjual pakaian tiruan berjenama antarabangsa bernilai RM 47,570, pada 13 Januari lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, wanita berusia 31 tahun yang menjalankan perniagaan secara online itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan pakaian berjenama di laman sosial dengan harga lebih murah dari pasaran bagi menarik perhatian pembeli.
“Tertuduh didakwa memiliki pakaian pelbagai jenama terkenal sebanyak 4,750 helai dengan menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di premis perniagaannya di Kuala Kangsar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) akta sama, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(ii) akta sama. – KOSMO! ONLINE