PETALING JAYA – Murid berubah sikap, sentiasa gelisah selain tidak fokus di dalam kelas sejak terjebak menghisap vape.
Itu yang diceritakan seorang guru mengenai perubahan sikap seorang muridnya sekali gus mengundang kebimbangan wanita itu.
Menerusi hantaran pada Instagram, guru pendidikan khas itu memberitahu, murid tersebut sering meminta keluar ke tandas sejak kebelakangan ini kononnya sakit perut.
“Mula-mula tidak syak pun. Kadangkala orang pergi rehat, dia hilang entah ke mana. Dalam kelas selalu hilang.
“Kalau ada pun dalam kelas, macam kucing hilang anak. Sehari dua tidak perasan tapi seminggu dua, nampak dia memang tidak boleh fokus dalam kelas. Resah gelisah,” katanya pada hantaran tersebut.
Wanita itu berkata, dia merasakan ada sesuatu disembunyikan dan akhirnya menjumpai vape tersebut.
“Cikgu pun tertanya-tanya apakah benda ini sampai budak gian sangat. Sampaikan murid tidak sampai sejam duduk dalam kelas, hendak keluar lagi.
“Mungkin sebab hendak hisap benda ini (vape). Sejak dari hari itu, baca berkenaan benda ini, memang bahaya,” luahnya. -KOSMO! ONLINE