IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyita dua buah lori muatan diesel bernilai RM51,817.90.
Pengarah KPNDHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, sitaan itu merupakan hasil pemeriksaan pasukan Penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Manjung pada pukul 8.20 malam semalam di sebuah stesen minyak di sekitar Segari.
Pemeriksaan itu dibuat hasil aduan dan maklumat awam berhubung aktiviti pembelian barang kawalan diesel bersubsidi menggunakan selain tangki kenderaan.
“Pemerhatian mendapati ada dua buah lori mengunjungi stesen minyak tersebut untuk membeli diesel yang diisi ke dalam tong plastik di belakang kenderaan tersebut.
“Menyedari hal itu, pasukan serbuan menahan dua lelaki berumur 56 tahun dan 31 tahun bersama-sama lori di stesen minyak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Siasatan awal mendapati, pemandu lori tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan dalam kuantiti banyak.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE