KULIM – Seorang peniaga pasar pagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dengan kenderaan pacuan empat roda sehingga parah pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Chua Kai Choon, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad.
Kai Choon turut dituduh dengan lima lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini iaitu menghalang tugas penjawat awam dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Tiga lagi pertuduhan dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu dengan melulu serta di bawah pengaruh dadah serta mengubah suai struktur kenderaan.
Dia yang merupakan bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas anggota polis, Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad dengan cara melanggar mangsa dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier yang mana ia boleh menyebabkan kematian.
Kejadian didakwa berlaku berdekatan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jalan Kulim-Serdang di sini kira-kira pukul 9.15 pagi, 16 Julai lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun. – KOSMO! ONLINE