fbpx

Geng Cherokee edar dadah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rajab (tengah) menunjukkan dadah jenis ganja yang berjaya dirampas dalam beberapa siri serbuan di ibu negara pada 25 September lalu.

KUALA LUMPUR – Kelicikan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah SUV sebagai stor dadah dan dialihkan dari semasa ke semasa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak berpanjangan selepas mereka ditahan polis dalam beberapa siri serbuan di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pada 24 September lalu kira-kira pukul 3.50 petang, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju telah menahan seorang lelaki tempatan di sekitar Taman Melati di sini susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas lelaki tersebut telah menemui sebanyak lima ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 5.12 kilogram (kg).

“Susulan penahanan tersebut, pihak polis seterusnya melakukan tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia di sekitar Kampung Baru di sini kira-kira pukul 11 malam hari yang sama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa di sini hari ini.

Menurut Rajab, dalam serbuan tersebut, pihaknya turut berjaya merampas sebanyak 20 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 20.538 kg.

“Soal siasat yang dilakukan ke atas suspek berusia 42 hingga 57 tahun itu seterusnya membawa polis ke sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Grand Cherokee di kawasan Kampung Baru dan turut menemui sebanyak 35 ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 35.620kg.

“Dalam serbuan pukul 1.30 pagi itu, pihak polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki sebagai pemilik SUV berkenaan dan pemeriksaan awal mendapati sindiket ini menjadikan kenderaan itu sebagai stor dadah yang dialihkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambah Rajab, siasatan dilakukan mendapati sindiket yang aktif sejak Ogos tahun lalu itu memperolehi bekalan dadah ganja dari Thailand dan akan menjualnya kepada tokan dadah sebelum sampai kepada pengguna.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dalam operasi ini adalah kira-kira seberat 61.286 kg yang dianggarkan bernilai RM154,250 dan boleh digunakan oleh kira-kira 60 ribu orang penagih di sekitar Lembah Klang.

“Semakan yang dilakukan mendapati kesemua suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan suspek warga asing itu turut didapati tidak memiliki sebarang rekod perjalanan sah malah kesemua mereka turut positif dadah jenis thc dan methamphetamine,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Rajab berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 1 Ogos bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI