WASHINGTON – Keadaan cuaca panas berbahaya di seluruh Amerika Syarikat (AS) merebak ke timur laut negara itu dengan sekurang-kurangnya satu pertiga penduduk AS di 20 negeri diberi amaran mengenai ancaman haba melampau, lapor United Press International (UPI) semalam.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) berkata, kira-kira 100 juta penduduk diberi amaran mengenai haba berlebihan, manakala sekitar 60 juta penduduk akan menghadapi suhu tinggi sepanjang minggu hadapan.
Kawasan yang terjejas termasuk Dataran selatan, Lembah Mississippi, Lembah Ohio ydan sebahagian dari Lembah Tennessee.
Oklahoma mencatatkan suhu tertinggi 39.4 darjah Celsius pada Selasa lalu, demikian menurut sebuah projek cuaca akademik, Oklahoma Mesonet.
“Ini kali pertama dalam sejarah rangkaian kami sebanyak 120 kawasan mencatatkan suhu tersebut pada hari yang sama,” kata Oklahoma Mesonet dalam ciapannya di Twitter.
Di Arkansas, bandar Little Rock menyaksikan suhu tinggi pada Selasa lalu untuk hari kesepuluh setakat tahun ini, kata NWS.
Di Texas, bandar Fort Worth mencatatkan suhu 42.8 darjah Celsius dan dijangka lebih panas pada Rabu ini.
NWS menyatakan bahawa 265 juta orang di seluruh AS akan mengalami suhu melebihi 32.2 darjah Celsius untuk beberapa hari akan datang dengan suhu paling tinggi di Dataran selatan. – Agensi