KOTA BHARU – Penduduk 50 buah rumah di lima buah kampung di Kampung Tanjong, mukim Pendek dekat sini hidup dalam keadaan diselubungi ketakutan apabila rumah mereka sering diganggu dengan ketukan misteri sejak seminggu lalu.
Penduduk mendakwa kebanyakan rumah di Kampung Lating, Kampung Belimbing, Kampung Keling, Kampung Pulau Gajah dan Tunjong diketuk bermula kira-kira pukul 1.45 pagi.
Seorang penduduk, Jasmi Awang Ahmad, 66, berkata, dia menyedari dinding luar rumahnya di Kampung Belimbing diketuk dengan kuat ketika semua ahli keluarganya sedang tidur malam semalam.
Menurutnya, dia yang menyangka ada orang yang ingin memecah masuk rumah terus mengambil sebilah pedang dan lampu suluh sebelum keluar rumah.
“Semasa berada di luar rumah, tiada lagi bunyi ketukan pada dinding rumah dan kedai saya yang terletak di sebelah rumah. Saya menunggu hampir sejam, namun keadaan masih sama.
“Selepas itu, saya melihat beberapa penduduk turut keluar rumah dan memaklumkan bahawa rumah mereka juga diketuk dengan kuat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Seorang lagi penduduk, Tan Mansor Tuan Kechik, 64, berkata, rumahnya turut diketuk beberapa kali terutamanya pada awal pagi dalam tempoh beberapa hari sejak kebelakangan ini.
Katanya, dia mengesyaki anaknya pulang lewat malam, namun tiada kelibat manusia apabila dia menjenguk ke luar rumah.
Sementara itu, bekas penggawa, Wan Azizi Wan Abdul Ghani, 57, berkata, dia penduduk lima buah kampung berpakat untuk melakukan rondaan pada waktu malam untuk mengenal pasti punca kejadian ketukan misteri itu.
Katanya, dia juga menasihatkan penduduk agar membuat laporan kepada pihak berkuasa jika tindakan itu boleh mengancam keselamatan orang ramai. – KOSMO! ONLINE