fbpx

Tubuh panel penyemak bebas kenal pasti faktor krisis bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang menubuhkan panel penyemak bebas terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan air serta pengurusan lembangan tadahan air bagi mengenal pasti faktor berlakunya krisis bekalan itu pada 6 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, keahlian panel penyemak bebas akan dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat serta diberi masa dua hingga tiga bulan untuk memuktamadkan dapatan mereka.

“Antara peranan panel berkenaan ialah membincangkan, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung dalam laporan post-mortem krisis air di Pulau Pinang yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Selain itu, panel ini juga berperanan untuk mengenal pasti kelemahan semasa berlakunya krisis air di Pulau Pinang dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zairil Khir Johari

Sebelum ini, pada 11 Julai lalu, PBAPP mengumumkan bahawa bekalan air telah pulih sepenuhnya di seluruh negeri selepas gangguan selama enam susulan penutupan sementara LRA Sungai Dua.

Menurut Zairil, panel itu juga akan mencadangkan langkah-langkah jangka masa pendek, jangka masa sederhana pendek dan jangka masa panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku.

“Selain itu, panel juga mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa depan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI