fbpx

Persatuan mahasiswa Orang Asli perlu ditubuhkan di semua universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan melibatkan murid orang Asli di asrama JAKOA, Rompin .

PETALING JAYA – Semua universiti awam disaran menubuhkan persatuan mahasiswa Orang Asli demi memelihara kebajikan mereka sepanjang pengajian di universiti.

Penasihat Persatuan Mahasiswa Orang Asli, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr. Suhazlan Suhaimi berkata, cadangan itu dikemukakan susulan latar belakang sosio-ekonomi Orang Asli yang hidup bersumberkan alam dan berjauhan daripada keluarga perlu diberikan perhatian.

“Menerusi persatuan, mahasiswa Orang Asli mempunyai peluang berkenalan dengan orang lain di universiti sekali gus meningkatkan cara berkomunikasi dalam pergaulan bersama rakan-rakan dan pensyarah.

“Ia juga dapat membantu mereka untuk menjadi lebih berani untuk bertanya, menyertai perbincangan, berdikari, malah dibimbing agar berhemah menguruskan perbelanjaan daripada biasiswa yang diberikan Jabatan kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pensyarah kanan di Jabatan Komputeran, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) itu berkata, mahasiswa Orang Asli juga perlu merebut peluang sewaktu berada di universiti.

“Dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi, sedikit sebanyak dapat membantu merubah kehidupan kepada yang lebih baik, malah memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli tentang kepentingan pendidikan,” ujarnya.

Tambahnya, UPSI yang menjadi universiti pertama menubuhkan Persatuan Mahasiswa Orang Asli (PERMOA) berharap persatuan seumpamanya ditubuhkan di seluruh universiti awam supaya kebajikan dan pengajian mereka terjaga dan dibantu sebaik mungkin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI